Monday 28 November 2011

Pengajaran Makro









           Saya mengajar di SKM iaitu 'sekolah kurang murid yang terletak agak pedalaman sedikit, dalam sebuah kampung yang dinamakan Kampung Nuri.  Sekolah yang tua di kawasan ini dan tidak semua tahu lokasinya.  Malah  ada juga guru-guru yang telah bertahun-tahun mengajar di daerah Kuala Pilah tidak tahu letaknya sekolah saya. 

          Tahun pertama saya mengajar di sekolah ini pada Januari 2008 selepas bertukar dari Melaka ke Negeri Sembilan, muridnya hanya 12 orang. Tahun ini, tahun ke 4 saya mengajar di sekolah ini, muridnya telah bertambah kepada 21 orang.  

             Alhamdulillah, tahun ini sekolah telah mencipta sejarah apabila salah seorang murid tahun 6 daripada 4 orang telah mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR 2011 yang lalu dan kelulusan 100%.  Saya amat bersyukur kerana akhirnya usaha kami, guru-guru tahun 6 untuk melahirkan murid yang berjaya dapat 5A dalam semua mata pelajaran tercapai.  

         Mungkin rakan-rakan blog ini hairan atau tersenyum apabila saya gembira walaupun hanya seorang yang berjaya digilap sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.  Latar belakang kebanyakan murid-murid di sekolah saya mempunyai keluarga yang bekerja sebagai penoreh getah atau kerja kampung atau tinggal bersama datuk dan nenek.  

          Dan kebanyakan mereka mengharapkan bimbingan guru-guru di sekolah 100%.  Saya bersama rakan-rakan guru berazam untuk menjadikan sekolah ini iaitu Sekolah Kebangsaan Dato' Undang Kamat sebagai sekolah yang dikenali ramai. 

          InsyaAllah.